Jun 14, 2008

Resipi SEDAP - Sedap Mata Memandang, Sedap Lagi Bila Dirasa

“Lepas waktu pejabat, kena masak untuk seisi keluarga lagi!” Ini merupakan rungutan yang biasa di kalangan wanita berkerjaya yang kurang berkemampuan menggaji pembantu rumah. Manakala bagi suri rumah sepenuh masa pula, kebiasaannya merungut tidak ada idea untuk menyediakan hidangan setiap kali tiba waktu memasak. Alangkah mudahnya kerja memasak jika ada yang sudi menunjukkan kaedah dan memberi cadangan agar kita dapat menyediakan sajian yang sedap, ekonomi dan menjimatkan masa untuk seisi keluarga.

Asal Usul Majalah SEDAP

Dengan terbitnya majalah SEDAP dalam pasaran, rungutan seumpama di atas dapat diatasi. Majalah bulanan bahasa Malaysia yang diadaptasi daripada majalah terbitan Indonesia ini telah berada di pasaran sejak bulan Jun baru-baru ini. Ia merupakan terbitan sulung syarikat penerbitan tempatan, Arena Media Tech Sdn Bhd dengan usahasama syarikat penerbitan gergasi Indonesia, Gramedia Magazine Publications yang terkenal dengan akhbar Kompas beroperasi di Jakarta, Indonesia.

Kandungan Majalah SEDAP

Kandungan majalah menitik berat seni kuliner dan resipi yang telah diuji di dapur penerbit. Apa yang istimewanya majalah SEDAP selain menyediakan lebih 80 jenis resipi ini, ia juga padat dengan paduan pelbagai jenis masakan daripada kek, roti, biskut, lauk pauk, kuih-muih dan sebagainya.

Malah bagi suri-suri rumah tangga yang sering mengalami masalah untuk menyediakan hidangan harian untuk keluarga, ruangan ‘Menu Hidangan Bulanan’ yang memaparkan 16 cadangan menu pilihan sesungguhnya amat berguna. Resipi-resipi ini, selain telah diuji di dapur majalah Sedap terlebih dahulu bagi mendapatkan hasil dan rasa yang lebih tepat mengikut sukatan, ia juga diselitkan dengan foto warna-warni yang mempesonakan dan di samping tip dan pesan daripada chef untuk panduan pembaca.

Istimewanya majalah SEDAP jika dibandingkan dengan majalah masakan sedia ada dalam pasaran, selain daripada tip ringkas dari chef bagi setiap resipi yang dipaparkan, majalah SEDAP juga menyediakan ruangan ala-kamus bagi membantu mereka yang baru berjinak-jinak dengan seni memasak.

Selaku pengarang yang terbabit dalam penerbitan majalah SEDAP, Rosliza hassan juga telah mencuba beberapa resipi yang dimuatkan dalam majalah masakan ini sebelum proses penerbitannya. Beliau sendiri mengakui hidangan tersebut memang mudah disediakan selain ia sedap dan menepati cita rasa seisi keluarga

Dalam keadaan harga barangan yang semakin naik sekarang, ruangan ‘Resipi Ekonomi’ amat sesuai kerana ia memaparkan resipi yang menggunakan bahan-bahan yang murah dan menepati bajet pengguna.

“Biarpun murah, rasa hidangan tersebut masih tetap sedap,” jelas Rosliza.

Harga Pengenalan

Bagi yang berminat untuk mendapatkan majalah Sedap ini, kini ia ditawarkan dengan harga pengenalan iaitu RM5.50 senaskhah. Majalah ini boleh didapati dari mana-mana kedai buku atau majalah. Untuk sebarang pertanyaan pengedaran, bolehlah hubungi Cik Lim di bahagian pengedaran dan langganan Arena Media Tech di talian, (+603) 9222 8128. Malah bagi mereka yang ingin berinteraksi secara maya, boleh lawati forum blog majalah SEDAP atau e-mel ke majalahsedap@gmail.com.


Peluang Periklanan
Bagi syarikat yang ingin mengambil peluang memaparkan iklan atau mempromosikan produk mereka, boleh menghubungi wakil pengiklanan di Evergreen Publisher (+603) 9285 7375.

Jun 09, 2008

Perbezaan Daun Suji dan Daun Pandan

Ramai yang masih tidak mengenali apakah daun suji sebenarnya. Daun suji rupanya seakan daun pandan, tetapi yang membuatkannya berbeza adalah cabang dedaun yang tumbuh dari batangnya. Daun suji agak pendek dan lebar sedikit. Manakala daun pandan agak panjang daunnya. Daun suji lebih lebih hijau warnanya berbanding dengan daun pandan. Kebiasaannya daun suji ini dipanggil dengan nama 'pandan serani' dan dijadikan tanaman hiasan.
Inilah rupa daun suji atau sesetengah orang memanggilnya dengan nama pandan serani yang gunanya untuk mendapatkan warna hijaunya.

Inilah rupa daun pandan. Keharumannya menjadikan tarikan utama dalam pembuatan kuih-muih.

Jun 03, 2008

Forum Majalah Sedap Baru dibuka

Berita baik untuk semua para pengunjung laman blog dan juga para pembaca Majalah SEDAP, demi menghargai sokongan anda, team SEDAP telah mewujudkan satu ruang interaktif iaitu Forum Majalah SEDAP, bagi memeriahkan laman blog ini. Di sini kami telah lakukan sebaik mungkin bagi memenuhi kehendak pembaca mengikut kesesuaian dan ketepatan citarasa pembaca.

Sebaik Majalah SEDAP terbitan pertama berada di pasaran, pasti ada yang akan mencubanya. Untuk berkongsi segala pengalaman anda ketika menyediakan mana-mana resepi yang terdapat di dalam majalah tersebut, kongsikan segala pengalaman anda bersama foto-foto masakan dalam forum khas yang telah kami wujudkan. Harapan kami, dengan kewujudan forum ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat yang berguna kepada para pengunjung sekelian.

Mei 29, 2008

Secebis Rasa

Inilah cabaran pertama saya dan inilah juga hasil usaha pertama saya bersama team SEDAP yang telah bertungkus-lumus selama ini. Akhirnya segala penantian selama ini, sudah tiba. Pertama kali majalah SEDAP ini, berada di pasaran telah membuatkan hati saya berdebar-debar untuk melihat sendiri bagaimanakah rupanya majalah SEDAP yang hangat diperkatakan rakan-rakan setugas. Penjelasan mereka membuatkan hati saya semakin tidak sabar-sabar lagi untuk menatapnya sendiri.

Pada pagi yang menggembirakan, saya telah menerima sample majalah SEDAP yang selama ini saya nantikan. Memang benar kata rakan-rakan saya, majalah tersebut memang diluar dugaan saya. Hasil gambar, susunan dan apa jua yang terdapat dalam majalah SEDAP, membuatkan saya terpukau seketika bagaikan tidak percaya. Akan tetapi, memang itulah hasilnya!

Mengenai seawal penglibatan saya dalam pembikinan majalah SEDAP ini, memang tidak terduga sama sekali bahawa saya diberi kepercayaan untuk mencuba sesuatu yang baru. Kebetulan pula, saya memang suka memasak. Jadi, sudah tentulah saya berasa amat gembira sekali kerana berpeluang untuk menyahut cabaran dengan tanggungjawab yang telah diberikan. Selain itu, saya juga ada mencuba beberapa resipi yang terkandung dalam majalah SEDAP ini. Hasilnya memang amat memuaskan. Jadi, memang sesuailah dengan nama SEDAP.

SEDAP? Sudah tentu ada yang tertanya-tanya, kenapa memilih nama SEDAP? Sememangnya SEDAP amat mudah disebut bagi setiap lapisan, tidak kira sama ada yang tua atau yang muda. Malah kanak-kanak juga amat mudah menyebutnya. Selain daripada itu, hidangan yang terpapar di dalamnya memang sedap-sedap belaka.

Memasak adalah satu perkara yang menyeronokkan. Keghairahan ketika mencuba resipi yang terdapat di dalam majalah SEDAP ini telah membuatkan saya terlalu seronok untuk menghasilkan sesuatu yang belum pernah saya cuba. Memang jelas, memasak memang amat menyeronokkan! Lebih-lebih lagi, hidangan yang akan dimasak khusus untuk dihidangkan kepada ahli keluarga, sudah tentulah berkobar-kobar rasa di hati untuk menyediakan yang sedap-sedap buat keluarga saya.

Keseronokan ini juga, turut dirasa oleh tukang-tukang masak yang terdapat di hotel-hotel, restoran dan gerai makanan. Daripada keseronokkan mereka menyediakan hidangan terbaik buat pelanggannya, mereka boleh menyediakan hidangan yang dipinta dengan cepat dan pantas. Sungguh mengagumkan!

Berbalik pula tentang majalah SEDAP, untuk keluaran ini memaparkan banyak hidangan istimewa yang pasti menggiurkan. Pelbagai info menarik juga turut dimuatkan seperti khasiat selasih, tentang kopi dan sebagainya yang terdiri daripada pelbagai segmen menarik. Selain itu, paparan istimewa buat suri rumah tangga yang sering memikirkan menu apakah setiap hari, SEDAP sedia membantu dengan mencadangkan beberapa menu pilihan setiap minggu dalam tempoh sebulan.

Bagi yang bermasalah dan kurang tahu akan apakah jenis bahan yang digunakan, SEDAP ada memaparkan 'kamus kita' untuk memudahkan pengguna merujuk dan mengenali bahan tersebut. Untuk resipi pula, SEDAP turut menyediakan tip iaitu 'Pesan Sedap' untuk memastikan setiap jenis resipi yang dipaparkan mendapat hasil yang memuaskan.

Sempat juga saya bertanyakan tentang majalah SEDAP ini kepada beberapa orang rakan saya. Ramai yang memberikan komen membina dan juga pujian atas kejayaan menerbitkan majalah masakan ini. Di bawah ini adalah antara komen daripada beberapa orang rakan.

"Boleh tahan juga majalah ni! Mudah dibaca dan difahami dengan lebih jelas lagi." Kata Puan Ella seorang suri rumah tangga.

"Seronok juga, hampir setiap muka surat ada resipi. Resipinya pun bagus-bagus juga." Kata Puan KC yang sememangnya suka memasak.

"Saya baru beli senaskah hari ni. Memang bagus majalah nih. Resipi yang terdapat di dalamnya juga menggoda saya untuk mencubanya." Beritahu Puan Diana pula, iaitu rakan yang sememangnya amat berbakat dalam bidang masak-memasak ini.

Melihatkan SEDAP yang pertama kali berada di tengah-tengah lambakan majalah lain, tiba-tiba ingatan saya mengimbas kembali akan segala nasihat dan perangsang yang pernah diberikan oleh orang yang telah banyak berjasa kepada saya, Encik Harlym Yeo, selaku Pemimpin Redaksi majalah SEDAP. Biarpun tidak banyak yang saya boleh katakan di sini, cukuplah sebagai penguat semangat dengan segala ilmu yang telah beliau curahkan untuk saya terus kehadapan dan sekaligus memastikan setiap keluaran adalah yang terbaik dari semasa ke semasa. Harapan saya, majalah SEDAP akan sentiasa menjadi pilihan sebagai salah satu bahan rujukan, juga sebagai koleksi peribadi.


Cetusan oleh,
Rosliza Muhamad Hassan

Mei 28, 2008

Episod Baru Bermula...

Setelah sekian lama menunggu, maka lahirlah sudah penerbitan yang diidam-idamkan oleh setiap kaum hawa, sama ada yang masih dara mahu pun yang sudah berumah tangga. Pendek kata (tak perlu kata panjang-panjang), SEDAP - naskhah paduan citarasa dan seni kuliner telah berada di pasaran seawal 23 Mei, 2008 dan kini sedang hangat di pasaran. Dapatkan senaskhah sebelum ia kehabisan kerana khabarnya ia tidak akan diulang cetak!

Seperkara yang menarik yang ingin dikongsi di ruang cyber ini, alangkah terujanya saya tatkala mendapat berita bahawasanya SEDAP telah selamat dicetak dan diedarkan di seluruh Malaysia pada petang hari Jumaat yang lepas. Saya seolah-olah bermimpi (malah pernah termimpi-mimpi kisah penerbitan majalah SEDAP dua hari sebelum ia siap dicetak), kerana ia diedarkan lebih cepat daripada tarikh jangkaannya iaitu sekitar awal Jun. Maka dengan penuh semangat saya sendiri telah bergegas ke kilang percetakan di Shah Alam (mujurlah rumah saya pun sewaktu dengan kawasannya) bagi melihat sendiri hasil keluaran ini. Seperti yang diberitakan bahawasanya ia cukup menawan, percetakan berkualiti tinggi, warna menyerlah, foto-foto resipi menggiurkan, susunan huruf & reka bentuk rapi & kemas... sesungguhnya tepat belaka!

Berbekalkan naskhah sample yang saya perolehi itu, telah saya 'menjaja' kepada saudara dan rakan untuk mendapat reaksi mereka. Rata-rata memberi komen yang memberangsangkan.

"Macam ni bagus. Ada ruangan contoh gambar untuk rujukan," komen Acu yang rajin ke kelas memasak itu sambil menunjukkan contoh ruangan KAMUS KITA dalam majalah SEDAP.

"Sejak kena buatan orang ni, dapur I dah lama tak berasap. Tapi I yakin suami I tentu teruja bila dapat majalah resipi macam ni... sebab dia tu bukannya tahu sangat memasak. Jadi majalah SEDAP mesti dapat bagi panduan kepada suami I memasak untuk kami sekeluarga," ujar Puan Noor yang sedang mengandung tiga bulan.

"Wow! Nampaknya masakan ni baguslah. Tapi yang penting ialah bahan-bahannya kenalah yang mudah didapati di pasaran. Nanti abang akan masak berpandukan majalah SEDAP ini dan jemput kamu untuk menjamu selera," kata Abang Eddy Rahman yang sememangnya pandai memasak semasa saya tunjuk majalah SEDAP kepadanya pagi tadi.

Tiada kata yang dapat saya ungkapkan di sini bagaimana komen-komen tersebut sesungguhnya membuatkan diri saya dan team SEDAP di sini untuk menghasilkan yang lebih baik, yang lebih padat, yang lebih lengkap terbitan SEDAP pada masa mendatang.

Dengan keluaran sulung majalah SEDAP ini bukannya bermakna tamat sudah usaha bagi menyiapkan penerbitan, sebaliknya bermulanya perjuangan dan lakaran sebuah episod baru dunia penerbitan majalah masakan dan seni kuliner.



Salam Hormat,
Harlym Yeo

Mei 09, 2008

Pengenalan

Klik untuk diperbesarkan.

Majalah SEDAP yang diterbitkan ini ialah terbitan adaptasi daripada majalah masakan popular dari Indonesia ke bahasa Melayu. Ia merupakan sebuah majalah yang memaparkan pelbagai resipi menarik dan mudah, khusus untuk pembaca wanita yang berkerjaya dan juga suri rumah tangga antara lingkungan umur 20-40 tahun. Sesuai juga kepada mereka yang baru berumah tangga sebagai langkah permulaan untuk mempelajari pelbagai hidangan mudah selain daripada menjadi bahan rujukan pengusaha kedai makan, warong, cafe', restoran atau hotel. Istimewa juga, majalah SEDAP tampil kelainan dengan menyelitkan ruangan istimewa menu pilihan yang memaparkan hidangan bulanan dan cara penyediaan pilihan masakan tersebut. Turut dimuatkan juga ruangan tip kesihatan, tip masakan, kamus bahan masakan, langkah-langkah penyediaan masakan serta perkembangan dan pengetahuan tentang perusahaan produk makanan sama ada dalam atau luar negara.