Setelah sekian lama menunggu, maka lahirlah sudah penerbitan yang diidam-idamkan oleh setiap kaum hawa, sama ada yang masih dara mahu pun yang sudah berumah tangga. Pendek kata (tak perlu kata panjang-panjang), SEDAP - naskhah paduan citarasa dan seni kuliner telah berada di pasaran seawal 23 Mei, 2008 dan kini sedang hangat di pasaran. Dapatkan senaskhah sebelum ia kehabisan kerana khabarnya ia tidak akan diulang cetak!
Seperkara yang menarik yang ingin dikongsi di ruang cyber ini, alangkah terujanya saya tatkala mendapat berita bahawasanya SEDAP telah selamat dicetak dan diedarkan di seluruh Malaysia pada petang hari Jumaat yang lepas. Saya seolah-olah bermimpi (malah pernah termimpi-mimpi kisah penerbitan majalah SEDAP dua hari sebelum ia siap dicetak), kerana ia diedarkan lebih cepat daripada tarikh jangkaannya iaitu sekitar awal Jun. Maka dengan penuh semangat saya sendiri telah bergegas ke kilang percetakan di Shah Alam (mujurlah rumah saya pun sewaktu dengan kawasannya) bagi melihat sendiri hasil keluaran ini. Seperti yang diberitakan bahawasanya ia cukup menawan, percetakan berkualiti tinggi, warna menyerlah, foto-foto resipi menggiurkan, susunan huruf & reka bentuk rapi & kemas... sesungguhnya tepat belaka!
Berbekalkan naskhah sample yang saya perolehi itu, telah saya 'menjaja' kepada saudara dan rakan untuk mendapat reaksi mereka. Rata-rata memberi komen yang memberangsangkan.
"Macam ni bagus. Ada ruangan contoh gambar untuk rujukan," komen Acu yang rajin ke kelas memasak itu sambil menunjukkan contoh ruangan KAMUS KITA dalam majalah SEDAP.
"Sejak kena buatan orang ni, dapur I dah lama tak berasap. Tapi I yakin suami I tentu teruja bila dapat majalah resipi macam ni... sebab dia tu bukannya tahu sangat memasak. Jadi majalah SEDAP mesti dapat bagi panduan kepada suami I memasak untuk kami sekeluarga," ujar Puan Noor yang sedang mengandung tiga bulan.
"Wow! Nampaknya masakan ni baguslah. Tapi yang penting ialah bahan-bahannya kenalah yang mudah didapati di pasaran. Nanti abang akan masak berpandukan majalah SEDAP ini dan jemput kamu untuk menjamu selera," kata Abang Eddy Rahman yang sememangnya pandai memasak semasa saya tunjuk majalah SEDAP kepadanya pagi tadi.
Tiada kata yang dapat saya ungkapkan di sini bagaimana komen-komen tersebut sesungguhnya membuatkan diri saya dan team SEDAP di sini untuk menghasilkan yang lebih baik, yang lebih padat, yang lebih lengkap terbitan SEDAP pada masa mendatang.
Dengan keluaran sulung majalah SEDAP ini bukannya bermakna tamat sudah usaha bagi menyiapkan penerbitan, sebaliknya bermulanya perjuangan dan lakaran sebuah episod baru dunia penerbitan majalah masakan dan seni kuliner.
Salam Hormat,
Harlym Yeo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan