Inilah cabaran pertama saya dan inilah juga hasil usaha pertama saya bersama team SEDAP yang telah bertungkus-lumus selama ini. Akhirnya segala penantian selama ini, sudah tiba. Pertama kali majalah SEDAP ini, berada di pasaran telah membuatkan hati saya berdebar-debar untuk melihat sendiri bagaimanakah rupanya majalah SEDAP yang hangat diperkatakan rakan-rakan setugas. Penjelasan mereka membuatkan hati saya semakin tidak sabar-sabar lagi untuk menatapnya sendiri.
Pada pagi yang menggembirakan, saya telah menerima sample majalah SEDAP yang selama ini saya nantikan. Memang benar kata rakan-rakan saya, majalah tersebut memang diluar dugaan saya. Hasil gambar, susunan dan apa jua yang terdapat dalam majalah SEDAP, membuatkan saya terpukau seketika bagaikan tidak percaya. Akan tetapi, memang itulah hasilnya!
Mengenai seawal penglibatan saya dalam pembikinan majalah SEDAP ini, memang tidak terduga sama sekali bahawa saya diberi kepercayaan untuk mencuba sesuatu yang baru. Kebetulan pula, saya memang suka memasak. Jadi, sudah tentulah saya berasa amat gembira sekali kerana berpeluang untuk menyahut cabaran dengan tanggungjawab yang telah diberikan. Selain itu, saya juga ada mencuba beberapa resipi yang terkandung dalam majalah SEDAP ini. Hasilnya memang amat memuaskan. Jadi, memang sesuailah dengan nama SEDAP.
SEDAP? Sudah tentu ada yang tertanya-tanya, kenapa memilih nama SEDAP? Sememangnya SEDAP amat mudah disebut bagi setiap lapisan, tidak kira sama ada yang tua atau yang muda. Malah kanak-kanak juga amat mudah menyebutnya. Selain daripada itu, hidangan yang terpapar di dalamnya memang sedap-sedap belaka.
Memasak adalah satu perkara yang menyeronokkan. Keghairahan ketika mencuba resipi yang terdapat di dalam majalah SEDAP ini telah membuatkan saya terlalu seronok untuk menghasilkan sesuatu yang belum pernah saya cuba. Memang jelas, memasak memang amat menyeronokkan! Lebih-lebih lagi, hidangan yang akan dimasak khusus untuk dihidangkan kepada ahli keluarga, sudah tentulah berkobar-kobar rasa di hati untuk menyediakan yang sedap-sedap buat keluarga saya.
Keseronokan ini juga, turut dirasa oleh tukang-tukang masak yang terdapat di hotel-hotel, restoran dan gerai makanan. Daripada keseronokkan mereka menyediakan hidangan terbaik buat pelanggannya, mereka boleh menyediakan hidangan yang dipinta dengan cepat dan pantas. Sungguh mengagumkan!
Berbalik pula tentang majalah SEDAP, untuk keluaran ini memaparkan banyak hidangan istimewa yang pasti menggiurkan. Pelbagai info menarik juga turut dimuatkan seperti khasiat selasih, tentang kopi dan sebagainya yang terdiri daripada pelbagai segmen menarik. Selain itu, paparan istimewa buat suri rumah tangga yang sering memikirkan menu apakah setiap hari, SEDAP sedia membantu dengan mencadangkan beberapa menu pilihan setiap minggu dalam tempoh sebulan.
Bagi yang bermasalah dan kurang tahu akan apakah jenis bahan yang digunakan, SEDAP ada memaparkan 'kamus kita' untuk memudahkan pengguna merujuk dan mengenali bahan tersebut. Untuk resipi pula, SEDAP turut menyediakan tip iaitu 'Pesan Sedap' untuk memastikan setiap jenis resipi yang dipaparkan mendapat hasil yang memuaskan.
Sempat juga saya bertanyakan tentang majalah SEDAP ini kepada beberapa orang rakan saya. Ramai yang memberikan komen membina dan juga pujian atas kejayaan menerbitkan majalah masakan ini. Di bawah ini adalah antara komen daripada beberapa orang rakan.
"Boleh tahan juga majalah ni! Mudah dibaca dan difahami dengan lebih jelas lagi." Kata Puan Ella seorang suri rumah tangga.
"Seronok juga, hampir setiap muka surat ada resipi. Resipinya pun bagus-bagus juga." Kata Puan KC yang sememangnya suka memasak.
"Saya baru beli senaskah hari ni. Memang bagus majalah nih. Resipi yang terdapat di dalamnya juga menggoda saya untuk mencubanya." Beritahu Puan Diana pula, iaitu rakan yang sememangnya amat berbakat dalam bidang masak-memasak ini.
Melihatkan SEDAP yang pertama kali berada di tengah-tengah lambakan majalah lain, tiba-tiba ingatan saya mengimbas kembali akan segala nasihat dan perangsang yang pernah diberikan oleh orang yang telah banyak berjasa kepada saya, Encik Harlym Yeo, selaku Pemimpin Redaksi majalah SEDAP. Biarpun tidak banyak yang saya boleh katakan di sini, cukuplah sebagai penguat semangat dengan segala ilmu yang telah beliau curahkan untuk saya terus kehadapan dan sekaligus memastikan setiap keluaran adalah yang terbaik dari semasa ke semasa. Harapan saya, majalah SEDAP akan sentiasa menjadi pilihan sebagai salah satu bahan rujukan, juga sebagai koleksi peribadi.
Cetusan oleh,
Rosliza Muhamad Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan