Februari 20, 2011

Pai Manis dan Masin Menggugat Selera-SEDAP#34


Pai sememangnya satu hidangan yang sangat ringkas, walaupun membuatnya agak sedikit remeh. Namun, kepuasannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Walaupun tampil dengan cita rasa manis dan masin, ianya tetap menjadi pilihan penggemar kuih-muih pastri. Bagi pai masin, selalunya diintikan dengan olahan daging, ayam, makanan laut, kentang dan sebagainya. Manakala pai manis pula, pilihan seperti buah-buahan sangat popular. Bentuknya juga ada yang pelbagai selain dibuat dalam mangkuk pastri, ianya juga dibungkus berbentuk empat segi seperti mana kita membelinya di salah sebuah restoran makanan segera.

Antara resipi lain yang turut dipaparkan dan sememangnya amat popular di rantau Asia, sudah tentulah nasi goreng. Selain dihidangkan sebagai sarapan pagi, ianya juga menjadi pilihan sebagai hidangan tengah hari atau malam. Ini kerana penyediaannya agak ringkas dan sekaligus disertakan dengan pelbagai bahan lain yang turut membangkitkan keistimewaan nasi goreng tersebut. Selain dipadukan dengan daging, ayam, makanan laut, aneka sayuran dan sebagainya, penggunaan bahan buah-buahan seperti nenas dan mangga juga menjadi pilihan penggemarnya.

Teh hijau bukan sahaja sesuai sebagai minuman berkhasiat. Ianya juga amat sesuai digunakan dalam pelbagai jenis kuih-muih, kek dan manisan. Selain itu, aroma istimewa teh hijau juga menjadi tarikan utama penggemar teh hijau.

Pelbagai resipi lain yang dimuatkan dalam Resipi Tradisional, Resipi Nusantara, Resipi Kilat, Resipi Ekonomi, Kelas Memasak dan banyak lagi ruangan resipi istimewa untuk dicuba. Semuanya pasti membangkitkan selera anda.

Januari 24, 2011

Hidangan Bergoreng yang digemari - SEDAP#33


Menikmati hidangan bergoreng sambil minum petang atau pun menonton televisyen memang sungguh nikmat. Lebih-lebih lagi hidangan bergoreng seperti keropok, karipap, kroket, popia dan macam-macam lagi kuih-muih yang bergoreng. Membuatnya juga tidaklah sesukar mana. Hanya perlu mengikut sukatan dan langkah-langkahnya dengan tepat dan betul. Untuk hasil yang lebih kreatif lagi, cubalah resipi pilihan SEDAP kali ini.

Alangkah sedapnya menikmati masak lemak labu bersama sambal ikan bilis, ikan kering goreng berserta ulam-ulaman. Memang nikmat sekali! Selain itu, labu yang dikatakan berkhasiat ini juga, boleh dijadikan sebagai campuran dalam roti, mi dan biskut. Lain pula di Jepun, labu dimasak sebagai tempura. Walau apa cara sekali pun labu dihidangkan, ianya tetap menyelerakan.

Buat penggemar hidangan Perancis, SEDAP kali ini memaparkan resipi pilihan Perancis yang dihidangkan sangat menarik juga sedap rasanya. Apa kata kita mencubanya sendiri.

Antara lain paparan menarik, pastikan tidak ketinggalan untuk mencuba Resipi Si Kecil, Sarapan Apa?, Resipi Sihat, Resipi Kesihatan dan banyak lagi. Semuanya sangat istimewa dan sudah tentulah akan digemari oleh keluarga dan rakan-rakan anda.

Disember 28, 2010

Istimewa Sempena Tahun Baru Cina-SEDAP#32


Apabila tibanya Tahun Baru Cina, sudah tentulah kita akan terbayangkan buah limau. Sememangnya buah limau ada maksud yang tersirat sempena Tahun Baru Cina. Begitu juga dengan pelbagai jenis hidangan istimewa yang menarik dan indah pada setiap malam perayaan. Buah tangan yang disediakan juga membawa maksud yang melambangkan kesejahteraan dan kebahagiaan. Jika anda berminat untuk mengetahui jenis hidangan apakah yang dimaksudkan, SEDAP kali ini memaparkan beberapa jenis resipi pilihan yang pastinya akan memukau dan membangkitkan selera.

Hidangan kaserol juga tidak kalah istimewanya dihidangkan kepada para tetamu yang hadir atau mungkin juga sebagai makan malam bersama keluarga. Kaserol sememangnya dihidangkan lengkap dengan gizi yang diperlukan. Lebih mudah dan cepat penyediaannya. Tidak seperti menghidang nasi serta lauk-pauk sampingan. Semua cita rasa sudah lengkap dengan sayur-sayuran, daging di samping dengan aneka warna menarik daripada cili merah, hijau dan macam-macam lagi bergantung cita rasa.

Di hari kasih sayang, selain bunga-bungaan, sudah tentulah coklat pilihan utama sebagai hadiah buat yang tersayang. Dengan coklat, kita boleh sediakan pelbagai bentuk dan variasinya seperti biskut, kek, gula-gula dan macam-macam lagi. Setelah itu, digubah cantik menjadi jambangan bunga. Semuanya bergantung pada si pemberi yang mahu memberikan apa cara sekalipun. Apa yang penting, keikhlasan hati dalam berkasih sayang. Tidak kira, sama ada buat kekasih, suami-isteri, kakak, adik dan juga kepada ibubapa.

Ada banyak lagi resipi istimewa yang bakal membuatkan anda teruja untuk mencubanya. Apa yang penting, sediakannya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang buat keluarga tercinta.

November 25, 2010

SEDAP Tampil Makanan Laut Resipi Asia-SEDAP#31


Tentu ada yang tidak sabar-sabar lagi menikmati hidangan makanan laut yang terhidang di atas meja makan, di depan mata. Apa lagi terlihatkan ketam dengan serbuk kari kuning, gulai udang dan nanas, ikan kuah lada, sotong goreng kering dan aneka jenis masakan makanan laut lagi menambat cita rasa. Bukan setakat rupa, apa lagi rasanya. Pasti tidak akan lupa dan mahu menikmatinya lagi.

Pernahkah anda membezakan, antara roti kuno dengan roti moden. Sudah pastilah perbezaan tekstur dan kelembutannya. Roti kuno lebih bau yisnya, padat dan tekstur pori-porinya agak besar. Manakala roti moden pula amat lembut dan ringan. Akan tetapi, tidak ada salahnya jika kita mahu membuat roti kuno sendiri. Rasanya masih tetap sedap dan lebih tradisional, bukan?

Bagi yang ingin sentiasa kelihatan sihat dan bertenaga sepanjang tahun, tahukah anda apa yang perlu kita lakukan? Jika anda ingin tahu bagaimana caranya, ikutilah sebanyak 52 langkah tetap sihat melalui Info Kesihatan keluaran kali ini.

Masih ada banyak lagi resipi istimewa yang bakal menjadi hidangan kegemaran keluarga anda. Jadi, tunggu apa lagi? Pastikan naskhah kali ini tidak terlepas dari genggaman anda!

SELAMAT TAHUN BARU 2011 dari kami krew Majalah SEDAP!

Oktober 22, 2010

Brownies, Kian Popular-SEDAP#30


Brownies, kek bantat yang kian popular masa kini. Selain didapati dalam perisa coklat, boleh juga didapati dengan paduan kacang dan keju. Kek bantat istimewa ini, memiliki tekstur yang padat, lembab, tidak kembang dan permukaannya merekah. Kebiasaannya, kek bantat dikatakan kek yang tidak menjadi. Akan tetapi, berbeza pula dengan brownies. Sejak dahulu lagi, brownies boleh dikatakan antara jenis kek yang dianggap mewah. Bagi yang menggemari brownies, bolehlah cuba-cuba membuat sendiri pelbagai resipi brownies yang dimuatkan dalam keluaran kali ini.

Buat yang menggemari masakan Cina, tidak ketinggalan juga pilihan resipi bermula sarapan pagi hinggalah hidangan paling popular. Sememangnya masakan Cina sangat diterima di lidah masyarakat kita. Selain ringkas dan cepat disediakan, dalam resipi Cina kebiasaannya mementingkan kesegaran dan berkhasiat.

Ada banyak lagi resipi menarik yang pastinya menyelerakan. Bermula dengan pembuka mulut, hidangan utama hinggalah pencuci mulut. Tidak ketinggalan juga, turut dimuatkan aneka resipi roti, kuih muih dan biskut yang menggoda. Bukan lagi menatap gambarnya sudah terliur, apa lagi setelah memasak dan menikmatinya sendiri, pasti mendapat pujian istimewa daripada ahli keluarga tersayang. Apatah lagi kawan-kawan, pasti ada yang menempahnya daripada anda. SEDAP bukan sahaja membahagiakan anda, malah menguntungkan juga!

September 27, 2010

Resipi Nyonya Semakin digemari-SEDAP#29


Sedap memaparkan aneka resipi yang menggiurkan dan pastinya akan disukai anda dan seisi keluarga. Masakan yang lazat bukan sahaja daripada resipi yang sedap tetapi keikhlasan hati dan keyakinan tukang masaknya membuatkan hidangan sebagai pengerat hubungan kasih sayang antara ahli keluarga dan teman-teman. Malah membuatkan anda terasa lebih bahagia apabila masakan anda disukai ahli keluarga dan rakan taulan.

Antara resipi menarik yang dimuatkan dalam keluaran kali ini, pilihan resipi nyonya yang lazat. Tidak ketinggalan juga akan resipi Cina dan Jepun yang sememangnya semakin popular dan digemari ramai. Bukan setakat kuih-muih, hidangan lauk-pauk dan alakat juga turut dimuatkan. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk mendapatkannya senaskhah di pasaran. Sememangnya SEDAP menjanjikan nikmat keSEDAPan yang tidak terhingga.

Ogos 24, 2010

Hidangan Rumah Terbuka Penambat Selera-SEDAP#28


Setelah sebulan berpuasa, Syawal tiba pula. Seluruh umat Islam amat bersyukur dan meraikan kemenangan setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Pada bulan ini jugalah, kita seluruh umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan. Selain saling bermaaf-maafan, amalan kunjung mengunjung ke rumah sahabat handai dan saudara mara menjadi tradisi sejak dari dahulu lagi. Apa yang lebih meriah lagi, tiba sahaja Hari Raya Aidilfitri, penyediaan juadah Hari Raya sudah menjadi satu kemestian. Hidangan ketupat, lemang, lontong dan nasi impit, sering kita temui. Apalagi digandingkan bersama rendang, kuah lodeh, serunding, sambal kacang dan beraneka jenis lagi hidangan turut terhidang di meja makan. Anda boleh menikmatinya tetapi awas, jangan terlebih makan, nanti buruk padahnya.

Selain juadah yang disebutkan di atas, kuih-muih juga turut memeriahkan meja tamu dengan pelbagai bentuk dan warna. Sungguh menarik sekali. Kuih muih tradisi juga tidak ketinggalan, seperti baulu, tart nenas, semperit dan beraneka jenis lagi.

Sepanjang bulan Syawal, sudah tentulah banyak undangan rumah terbuka yang bakal kita hadiri memenuhi jadual harian anda. Jika anda juga mahu mengadakan majlis rumah terbuka sedemikian, cubalah anda selak helaian demi helaian SEDAP kali ini yang memaparkan beberapa jenis resipi yang sesuai untuk dihidangkan untuk majlis rumah terbuka tersebut. Selain bebeza daripada biasa, ianya bakal menambat hati tetamu anda. Pasti juga, majlis anda menjadi lebih hebat lagi jika juadah ketupat, lemang, lontong dan nasi impit dihidangkan bersama gandingan yang berbeza daripada biasa. Pasti tetamu anda tidak sabar-sabar lagi untuk mencubanya.

Melalui kesempatan ini juga, kami seluruh tenaga kerja SEDAP ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN. Semoga bergembira di hari yang penuh kemuliaan dan kemeriahan ini.