Februari 20, 2011
Pai Manis dan Masin Menggugat Selera-SEDAP#34
Pai sememangnya satu hidangan yang sangat ringkas, walaupun membuatnya agak sedikit remeh. Namun, kepuasannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Walaupun tampil dengan cita rasa manis dan masin, ianya tetap menjadi pilihan penggemar kuih-muih pastri. Bagi pai masin, selalunya diintikan dengan olahan daging, ayam, makanan laut, kentang dan sebagainya. Manakala pai manis pula, pilihan seperti buah-buahan sangat popular. Bentuknya juga ada yang pelbagai selain dibuat dalam mangkuk pastri, ianya juga dibungkus berbentuk empat segi seperti mana kita membelinya di salah sebuah restoran makanan segera.
Antara resipi lain yang turut dipaparkan dan sememangnya amat popular di rantau Asia, sudah tentulah nasi goreng. Selain dihidangkan sebagai sarapan pagi, ianya juga menjadi pilihan sebagai hidangan tengah hari atau malam. Ini kerana penyediaannya agak ringkas dan sekaligus disertakan dengan pelbagai bahan lain yang turut membangkitkan keistimewaan nasi goreng tersebut. Selain dipadukan dengan daging, ayam, makanan laut, aneka sayuran dan sebagainya, penggunaan bahan buah-buahan seperti nenas dan mangga juga menjadi pilihan penggemarnya.
Teh hijau bukan sahaja sesuai sebagai minuman berkhasiat. Ianya juga amat sesuai digunakan dalam pelbagai jenis kuih-muih, kek dan manisan. Selain itu, aroma istimewa teh hijau juga menjadi tarikan utama penggemar teh hijau.
Pelbagai resipi lain yang dimuatkan dalam Resipi Tradisional, Resipi Nusantara, Resipi Kilat, Resipi Ekonomi, Kelas Memasak dan banyak lagi ruangan resipi istimewa untuk dicuba. Semuanya pasti membangkitkan selera anda.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan