Ogos 24, 2010

Hidangan Rumah Terbuka Penambat Selera-SEDAP#28


Setelah sebulan berpuasa, Syawal tiba pula. Seluruh umat Islam amat bersyukur dan meraikan kemenangan setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Pada bulan ini jugalah, kita seluruh umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan. Selain saling bermaaf-maafan, amalan kunjung mengunjung ke rumah sahabat handai dan saudara mara menjadi tradisi sejak dari dahulu lagi. Apa yang lebih meriah lagi, tiba sahaja Hari Raya Aidilfitri, penyediaan juadah Hari Raya sudah menjadi satu kemestian. Hidangan ketupat, lemang, lontong dan nasi impit, sering kita temui. Apalagi digandingkan bersama rendang, kuah lodeh, serunding, sambal kacang dan beraneka jenis lagi hidangan turut terhidang di meja makan. Anda boleh menikmatinya tetapi awas, jangan terlebih makan, nanti buruk padahnya.

Selain juadah yang disebutkan di atas, kuih-muih juga turut memeriahkan meja tamu dengan pelbagai bentuk dan warna. Sungguh menarik sekali. Kuih muih tradisi juga tidak ketinggalan, seperti baulu, tart nenas, semperit dan beraneka jenis lagi.

Sepanjang bulan Syawal, sudah tentulah banyak undangan rumah terbuka yang bakal kita hadiri memenuhi jadual harian anda. Jika anda juga mahu mengadakan majlis rumah terbuka sedemikian, cubalah anda selak helaian demi helaian SEDAP kali ini yang memaparkan beberapa jenis resipi yang sesuai untuk dihidangkan untuk majlis rumah terbuka tersebut. Selain bebeza daripada biasa, ianya bakal menambat hati tetamu anda. Pasti juga, majlis anda menjadi lebih hebat lagi jika juadah ketupat, lemang, lontong dan nasi impit dihidangkan bersama gandingan yang berbeza daripada biasa. Pasti tetamu anda tidak sabar-sabar lagi untuk mencubanya.

Melalui kesempatan ini juga, kami seluruh tenaga kerja SEDAP ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN. Semoga bergembira di hari yang penuh kemuliaan dan kemeriahan ini.

Tiada ulasan: