September 07, 2009

Paparan Kek Jepun Pelbagai Variasi dalam SEDAP #16

Siapa yang tidak menggemari kek yang sedap dan lembut rasanya. Lebih-lebih lagi, kek yang dibuat menggunakan teknik unik yang biasa digunakan oleh tukang pembuat kek Jepun. Bukan setakat rasanya, kek juga kelihatan cantik dan kreatif. Sememangnya sentuhan yang benar-benar mengagumkan!

Bagi penggemar tiramisu pula, SEDAP kali ini mengetengahkan beberapa resipi yang mempunyai cita rasa tiramisu. Selain sedap rasanya, paduan aroma keju juga menjadikan nikmat tiramisu amat sukar dilupakan. Sentuhan demi sentuhan resipi pilihan SEDAP mendapat tempat di lidah kita. Terutamanya, resipi yang didatangi dari Brazil, benar-benar mengejutkan.

Selain memaparkan resipi kek, kuih-muih dan manisan, turut juga dipaparkan pelbagai resipi lauk-pauk yang sesuai dihidangkan untuk santapan keluarga. Tidak lupa juga bagi penggemar durian yang mendapat jolokan sebagai raja buah turut digunakan dalam pelbagai resipi. Aroma khasnya yang istimewa, membuatkan hidangan bertambah sedap.

Pernahkah anda menyedari akan khasiat bunga tapak dara yang cantik, mampu mencegah penyakit kanser, leukimia dan diabetes? Menyentuh tentang kesihatan, adakah anda mengetahui apakah serat makanan dan apakah kebaikannya? Sebenarnya, mengambil makanan berserat sangat baik untuk tubuh badan. Antara pencegahan yang mampu dikawal dengan mengamalkan pemakanan berserat iaitu mampu menurunkan kadar kolestrol dalam darah, mengawal kandungan gula dalam darah bagi pengidap diabetes, memudahkan pencernaan dan mengikat air hingga kotoran manusia menjadi lembut. Ada banyak cara untuk mengambil makanan serat. Untuk lebih mengetahui lebih lanjut lagi, jangan ketinggalan untuk mendapatkan senaskhah Majalah SEDAP di pasaran. Selain memaparkan pelbagai resipi, turut dimuatkan pelbagai info berguna untuk dikongsikan bersama para pembaca yang lain. Sememangnya, SEDAP mempunyai cita rasa SEDAP buat pembaca semua.

Seperkara lagi, dalam usaha memantapkan intipati majalah SEDAP #16 kali ini, secara tidak sengaja, pihak kami telah tersalah cetak halaman 53 dengan kandungan halaman 49. Apapun, kami sertakan halaman 53 yang sebenarnya di sini untuk tatapan para pembaca budiman. Harap maaf.

Sempena kedatangan bulan Syawal, dengan seikhlas hati, krew SEDAP mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Ogos 08, 2009

Variasi Resipi Gandingan Ketupat & Tanpa Ketupat

Meskipun bulan Ramadhan belum menjelang tiba dan bulan Syawal masih lagi jauh jika diukur dengan hitungan hari, namun demikian, ia tidak menjadi satu kesalahan andainya kita bersiap sedia lebih awal. Justeru itu, majalah SEDAP kali ini memaparkan hidangan istimewa sempena Aidilfitri.

Visual yang menghiasi muka depan, diambil daripada ruangan Masakan Teman Ketupat yang diberi nama Sayur Godog Rempah Kantan. Jika ia dihidangkan kepada tetamu tatkala Hari Raya, pasti menjadi kenangan manis.... Apa taknya, santapan yang disaji ketara kelainannya jka dibandingkan dengan hidangan pada tahun-tahun sebelum ini! Selain itu, majalah SEDAP kali ini juga turut menyiarkan pelbagai hidangan kuih lazat di samping puding dan minuman segar untuk mengembalikan kesegaran tubuh setelah menikmati aneka juadah raya yang pedas-pedas.

Walaupun edisi kali ini lebih menjurus kepada tema Aidilfitri, majalah SEDAP juga tidak ketinggalan memaparkan pelbagai resipi lauk-pauk untuk santapan seisi keluarga dalam ruangan paling popular, "Menu Hidangan Bulanan". Antara yang pasti mengiurkan ialah masakan cendawan goreng rempah kari, sate ayam rempah petis pedas, paru masak kacang merah, sayur asam kangkung, pucuk ubi tumis rica, sambal godog tauhu lembut, ikan siakap sos Bali, sup sayur daun ketumbar, rusuk kambing cili hijau dan banyak lagi...!

Apa pun, yang pasti kami di majalah SEDAP ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di mana jua anda berada pada bulan Ramandhan yang bakal menjelang ini. Sebagai umat Islam, umum mengetahui bahawa di samping satu proses penyucian dosa dan pembersihan jiwa serta untuk peningkatan ketakwaan kepada Tuhan, amalan puasa juga merupakan satu bentuk rawatan kepada sistem tubuh badan khususnya dikenali sebagai proses detoksifikasi atau penyahtoksidan, iaitu satu proses di mana pelbagai jenis bahan beracun atau bahan bertoksik dikeluarkan daripada tubuh badan manusia bagi tujuan pembersihan.

Pendek kata, marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk memperbanyakkan amal ibadah dan bermunajat kepada Allah SWT. Semoga kita lebih sihat, lebih bermotivasi dan lebih produktif sepanjang bulan Puasa ini. InsyaAllah, semoga ibadah kita diterima oleh Allah SWT, Amin.

Ogos 06, 2009

Buah Keluak atau Buah Kepayang



Ini adalah buah Keluak atau buah Kepayang. Pokoknya kecil hingga sederhana besar, setinggi 26m. Silara padat, bentuk kon, batang berjuntai, beralun dan berbanir. Kulitnya kelabu perang dan licin. Ekstrak daun dan kulit pokoknya boleh membunuh cacing parasit. Asid hidrosianik boleh membunuh manusia dan haiwan. Tanin mengecutkan tisu dan protein pada kulit dan lendir. Biasanya ia di gunakan dalam masakan. Terutama dalam masakan Indonesia.

Ia juga mempunyai khasiat pengubatan. Caranya, bijinya dihancurkan dan dibuat ubat. Tepekkan pada bisul.Selain itu, biji (isi), pokok (kulit) dan daunnya dihancurkan dan disapu pada bahagian dalam dan luar ikan supaya ikan tidak busuk.
Minyak diekstrak daripada biji (yang telah dinyahkan racunnya)untuk dimasak. Penyediaan yang kurang sempurna, menyebabkan si pemakan akan mengalami cirit-birit. Antara cara untuk menawar racun di dalam bijinya adalah dengan merebus biji, direndam dalam air, dan dikambus dengan abu atau dalam pasir di tepi pantai. Biji yang tidak disediakan dengan baik boleh membawa maut kepada orang yang memakan isi biji kepayang atau keluak ini.

Daun dan biji kepayang boleh dijadikan makanan setelah segala racunnya di keluarkan. Daun muda dan buah muda lebih beracun daripada buah masak atau daun matang. Oleh itu, buah yang dipetik sebelum cukup masak lebih berbahaya daripada biji yang diambil daripada buah masak atau yang gugur daripada pokok induk.

Oleh itu perlulah berhati-hati ketika menggunakan biji buah kepayang atau keluak ini dalam masakan anda.

Ogos 05, 2009

Tahukah anda nama bagi herba ini?




Nama lain : Greek Oregano, Wild Marjoram
Nama Tempatan : Oregano
Nama Saintifik : Origanum Volgare
Family : Labiatea / Lamiaceae
Di tanam sebagai bahan rempah dalam masakan.

Julai 10, 2009

SEDAP Paparkan Pelbagai Persediaan Puasa dan Lebaran



Melihat sahaja hidangan pada kulit majalah SEDAP isu 14 ini, sudah cukup membuatkan ada terliur dan tidak sabar untuk menatap lebih banyak lagi resipi yang termuat di dalamnya.

Memandangkan Ramadhan tiba lagi, SEDAP memaparkan banyak resipi menarik dan sesuai untuk dihidangkan ketika bersahur dan berbuka. Pelbagai info berkaitan dengan puasa juga turut dimuatkan. Bagi mereka yang sememangnya mengamalkan diet, sudah tentulah tidak menjadi masalah. Akan tetapi, adakah diet yang mereka lakukan ketika berpuasa itu adalah cara yang betul atau tidak? Untuk mengetahui lebih lanjut lagi, teruslah menatap setiap isi kandungan di dalamnya.

Pelbagai hidangan pembuka selera ketika berbuka menjadi hidangan utama berupa manisan yang terdiri daripada bahan segar dan menyegarkan. Siapa yang tidak gemar menikmati bubur manis sebagai pembuka selera di awal berbuka. Selain memberi tenaga setelah letih berpuasa di siang hari, sekaligus memberi kesegaran dengan kandungan gizi yang berkhasiat.

Selain itu, pelbagai jenis lauk-pauk yang bakal menjadi hidangan khas bersama nasi putih, akan menjadi bertambah berselera biarpun hidangan tersebut sememangnya asing buat anda. Akan tetapi, sekali rasa sudah pasti anda mahu lagi.

Antara pelbagai resipi yang bakal menyelamatkan anda ketika terlewatnya masa penyediaan menu bersahur, hidangan kering sudah tentulah menjadi pilihan utama. Selain tahan lama, boleh dikatakan sebagai penyelamat ketika anda tidak sempat menyediakan menu lainnya.

Bagi penggemar atau yang berminat membuat biskut kering, SEDAP tidak ketinggalan memaparkan beberapa jenis resipi biskut kering untuk anda mencubanya sendiri sebagai persediaan untuk hari Lebaran yang bakal tiba nanti. Selain itu, ada bermacam-macam jenis kek istimewa untuk anda mencubanya juga.

Antara buah tangan yang unik juga istimewa buat yang disayangi, SEDAP memberi ilham kuliner kepada pembaca untuk mencubanya. Selain berkesan sebagai tanda ingatan, mungkin ianya akan menjadi ikut-ikutan kepada orang ramai juga.

Istimewa buat penggemar kepak ayam dan kacang hijau, inilah masanya anda mencuba resipi kepak ayam istimewa dan juga resipi daripada kacang hijau. Sudah pasti ianya sangat lazat dan sesuai cita rasa anda.

Ada berbagai-bagai lagi hidangan istimewa turut dimuatkan di dalam majalah SEDAP kali ini, termasuklah Menu Hidangan Bulanan dan juga daripada pembaca sendiri. Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk memiliki senaskhah sebelum kehabisan stok. Jika anda mengalami kesukaran untuk mendapatkan majalah SEDAP, sila hubungi New Media Agency di nombor 03-92228128 atau fakskan ke nombor 03-9221 6949 atau emelkan kepada: newmedia@tm.net.my atau majalahsedap@gmail.com

Jun 09, 2009

ISU JULAI PAPARKAN PELBAGAI RESIPI ISTIMEWA

Setelah volum 1 berlalu kini muncul pula volum 2 yang dipenuhi dengan pelbagai jenis resipi istimewa yang pastinya menggugat lidah sesiapa sahaja yang menatap hidangan yang termuat di dalamnya isu Julai ini. Pelbagai info dan tip berguna sesuai dijadikan panduan berguna kepada para pembaca.

Menyentuh pada isi kandungan kali ini, kepada penggemar karipap, popia, risoles dan kroket, SEDAP kali ini memaparkan hidangan ala tradisional tetapi telah diubah dari segi inti dan rasanya. Namun begitu, keaslian kuih-muih tersebut tetap terserlah. Selain itu, paparan resipi sarapan pagi yang mempelbagaikan cara masakan makaroni, turut menjadi pilihan untuk menyesuaikan hidangan ala barat versi traditional. Jika pembaca ingin mengetahui lebih lanjut apakah yang dimaksudkan ala barat versi tradisional, jangan lepaskan peluang untuk memiliki majalah SEDAP ini di pasaran. Pasti tidak akan mensia-siakan hidup anda untuk menceriakan seisi keluarga dengan hidangan yang SEDAP-SEDAP belaka.

April 25, 2009

Lagi Hasil Sentuhan Pembaca

Sebelum ini, melalui blog ini Majalah SEDAP telah memperlihatkan beberapa hasil cubaan yang berjaya daripada pembaca Majalah SEDAP. Memang memberi kejutan yang sangat memberangsangkan. Ini tambah membuktikan keyakinan pembaca lain dengan kejayaan-kejayaan tersebut akan resipi yang dimuatkan setiap keluaran benar-benar tidak mengecewakan. Berikut adalah gambar hasil yang telah disumbangkan melalui Forum Majalah Sedap. Menakjubkan, bukan?!



Jejari Mentega Kacang Cincangan Coklat
- Sumber dari SEDAP#9 Hasil daripada seorang pembaca yang menggunakan nama pena Zyzyshop. Katanya tentang biskut Jejari Mentega Kacang Cincangan Coklat ini, sedap rasanya. Keluarganya benar-benar menyukai rasa biskut tersebut.



Kek Kopi Madu - Sumber dari SEDAP#5. Hasil daripada Puan Ayu yang sebelum ini telah banyak mencuba pelbagai resipi dari Majalah SEDAP. Menurut Puan Ayu, dia amat berpuas hati dengan kek tersebut kerana aroma kopi yang benar-benar membangkit selera juga sekaligus rasa campuran potongan coklat yang membuatkan kek tersebut semakin istimewa.



Murtabak Kentang - Sumber dari SEDAP#5. Menurut Puan Ayu yang telah mencubanya, murtabak ini sangat sedap. Kanak-kanak juga boleh menikmatinya. Ini kerana murtabak tersebut tidak terlalu pedas. Puan Ayu amat berpuas hati dengan hasilnya.