Jun 11, 2011

Tampil Aneka Resipi Bersahur dan Berbuka - SEDAP#38


Ramadhan tiba lagi! Semua umat Islam akan menjalani ibadah puasa selama sebulan. Ketika ini, sudah tentulah di awal pagi sebelum Subuh, ramai suri rumah tangga sibuk memasak, menyediakan hidangan untuk bersahur. Bagi yang tiada masa atau kesuntukan masa, boleh mencuba resipi hidangan bersahur yang paling mudah dan ringkas, malah tahan lama untuk dijadikan lauk-pauk sampingan bersahur dalam edisi SEDAP kali ini.

Berbalas-balas atau saling bertukar-tukar hidangan untuk berbuka sudah menjadi tradisi bagi umat Islam. Tujuan tersebut bukanlah semata-mata untuk bertukar citarasa, tetapi mengeratkan lagi hubungan sesama jiran tetangga. Sudah tentulah jiran kita akan berbesar hati menerima hidangan istimewa daripada anda. Lebih-lebih lagi, manisan.

Adakalanya para suri rumah tangga pening memikirkan menu apakah yang akan dihidangan untuk berbuka. Apa kata, jika anda mencuba beberapa pilihan resipi SEDAP kali ini. Selain sedikit kelainan, pasti keluarga anda tidak akan menolaknya. Malah akan menyukainya.

Masih banyak lagi hidangan yang sesuai dihidangkan untuk bersahur dan berbuka buat seisi keluarga. Tidak ketinggalan juga buat si kecil yang baru berjinak-jinak belajar berpuasa. Pelbagai info berguna juga turut dipaparkan. Lebih-lebih lagi, buat mereka yang ingin sentiasa segar dan sihat sepanjang menjalani ibadah puasa.

KAMI KREW MAJALAH SEDAP, INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA BUAT SELURUH UMAT ISLAM SEDUNIA.

Mei 20, 2011

Lebih Menyelerakan dan Bercita Rasa Asia - SEDAP#37


SALAD bukan lagi asing bagi orang-orang tempatan di Malaysia. Malah, orang tempatan juga sudah semakin bijak mengolah salad mengikut cita rasa Asia. Bukan setakat itu sahaja, malah amalan memakan salad baik untuk kesihatan. Ini kerana salad selalunya dihidang segar. Sos atau dressing yang digunakan juga boleh dipelbagaikan bersesuaian dengan jenis salad mengikut sesetengah negara.

Hidangan tradisional sememangnya amat terkenal dengan penggunaan rempah-ratus nusantara. Bukan sahaja kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih atau pelbagai jintan. Penggunaan rempah-ratus segar juga pasti membuatkan hidangan semakin menyelerakan selain membangkitkan aroma segar.

Tidak salah jika mahu memberikan cenderahati yang lain daripada yang lain. Malah nampak comel dan cantik. Pasti tetamu istimewa akan berpuas hati dengan majlis yang dijalankan dengan penuh kemeriahan disamping pemberian cenderahati indah dan sedap rasanya. Lebih-lebih lagi, ianya dibuat sendiri!

Ada banyak lagi hidangan menarik yang bakal membuatkan sesiapa sahaja terliur dan tidak sabar untuk membuat dan menikmati sendiri kelazatan sebenar resipi pilihan edisi SEDAP kali ini. Baik yang mudah atau yang remeh, yang penting akan membuatkan sesiapa sahaja mengingati rasanya dan tidak mudah dilupakan!

April 22, 2011

Aroma Hidangan Buluh Memikat Selera-SEDAP#36


Hidangan yang disediakan secara tradisional sudah tentulah lebih sedap lagi. Selain rasa, aromanya juga memikat selera buat sesiapa sahaja yang ingin sedang menginginkan hidangan yang lebih menyelerakan. Memasak makanan dengan menggunakan buluh, memang sesuatu yang agak unik, akan tetapi ianya sudah menjadi tradisi bagi sesetengah kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak, Malaysia.

Selain menggunakan bahan seperti ayam, ikan, daging dan makanan laut, sayur-sayuran dan nasi juga boleh dimasak menggunakan kaedah yang sama. Cuma, penggunaan rempah-ratus atau bahan-bahan tambahan lain mengubah cita rasa yang berbeza.

Jika cara tradisinya, makanan buluh yang dilapisi dengan daun pisang, akan dibakar menggunakan bara api seperti kita menyediakan lemang. Walaupun agak rumit, tetapi hasilnya akan membuatkan anda berpuas hati. Mungkin juga anda akan menginginkannya lagi dan lagi.

Sebenarnya, untuk menyediakan hidangan buluh bagi kita penduduk bandar, sudah tentulah boleh. Cuma bezanya, cara memasaknya buluh dibakar dalam ketuhar. Rasanya juga sudah tentulah tidak ada bezanya dengan masakan buluh secara tradisional. Masih tetap sedap dan beraroma. Jadi, cubalah resipi masakan buluh dalam keluaran SEDAP kali ini. Sungguh menggiurkan!

Mac 20, 2011

Sapo Hidangan Panas yang Menyelerakan-SEDAP#35


Memang sedap menikmati hidangan panas-panas. Lebih-lebih lagi disediakan dalam bekas seramik atau periuk tanah. Kebiasaannya disebut claypot, tetapi bagi masyarakat Cina lebih suka menyebutnya 'sapo'. Hidangan yang biasa kita lihat dan cuba sudah tentulah makanan yang terus boleh dimakan di bekas tersebut seperti, yee mee claypot dan nasi ayam claypot. Akan tetapi, bagaimana pula dengan hidangan sapo kali ini? Sudah tentulah lebih istimewa dengan variasi cita rasa mengikut selera. Pasti suri rumah tangga tidak sabar-sabar untuk mencubanya sendiri.

Menikmati kuih-muih kegemaran anda ketika bersarapan atau minum petang, memang sungguh menyelerakan. Akan tetapi, adakah anda lebih suka membeli atau membuatnya sendiri? Tepuk dada, tanya selera. Ada juga antara kebanyakan gerai yang menjual kuih-muih menepati cita-rasa penggemarnya. Jika rasanya sedap, sudah tentulah laris dijual. Antara jenis kuih-muih yang sering menjadi pilihan seperti karipap, pisang goreng, cucur udang, pau dan macam-macam lagi. Akan tetapi, apa salahnya anda mencuba pula kuih-muih jenis lain yang juga tidak kalah sedap rasanya. Misalnya variasi jenis roti, puding dan kek. Sebagai cadangan, SEDAP memaparkan beberapa jenis resipi istimewa untuk dicuba.

Masih banyak lagi resipi menarik yang sesuai buat para suri rumah tangga yang sedang kebuntuan memikirkan menu apa yang perlu dihidangkan buat keluarga atau tetamu yang bertandang ke rumah anda. Jika mahu kelainan, bolehlah mencuba hidangan daripada Perancis atau British. Jika mahu yang lebih cepat dan mudah disediakan, bolehlah mencuba resipi kilat dan resipi 30 minit. Menu bulanan sudah tentulah boleh membantu anda. Apa yang penting, keluarga anda menyukai apa yang anda sediakan.

Februari 20, 2011

Pai Manis dan Masin Menggugat Selera-SEDAP#34


Pai sememangnya satu hidangan yang sangat ringkas, walaupun membuatnya agak sedikit remeh. Namun, kepuasannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Walaupun tampil dengan cita rasa manis dan masin, ianya tetap menjadi pilihan penggemar kuih-muih pastri. Bagi pai masin, selalunya diintikan dengan olahan daging, ayam, makanan laut, kentang dan sebagainya. Manakala pai manis pula, pilihan seperti buah-buahan sangat popular. Bentuknya juga ada yang pelbagai selain dibuat dalam mangkuk pastri, ianya juga dibungkus berbentuk empat segi seperti mana kita membelinya di salah sebuah restoran makanan segera.

Antara resipi lain yang turut dipaparkan dan sememangnya amat popular di rantau Asia, sudah tentulah nasi goreng. Selain dihidangkan sebagai sarapan pagi, ianya juga menjadi pilihan sebagai hidangan tengah hari atau malam. Ini kerana penyediaannya agak ringkas dan sekaligus disertakan dengan pelbagai bahan lain yang turut membangkitkan keistimewaan nasi goreng tersebut. Selain dipadukan dengan daging, ayam, makanan laut, aneka sayuran dan sebagainya, penggunaan bahan buah-buahan seperti nenas dan mangga juga menjadi pilihan penggemarnya.

Teh hijau bukan sahaja sesuai sebagai minuman berkhasiat. Ianya juga amat sesuai digunakan dalam pelbagai jenis kuih-muih, kek dan manisan. Selain itu, aroma istimewa teh hijau juga menjadi tarikan utama penggemar teh hijau.

Pelbagai resipi lain yang dimuatkan dalam Resipi Tradisional, Resipi Nusantara, Resipi Kilat, Resipi Ekonomi, Kelas Memasak dan banyak lagi ruangan resipi istimewa untuk dicuba. Semuanya pasti membangkitkan selera anda.

Januari 24, 2011

Hidangan Bergoreng yang digemari - SEDAP#33


Menikmati hidangan bergoreng sambil minum petang atau pun menonton televisyen memang sungguh nikmat. Lebih-lebih lagi hidangan bergoreng seperti keropok, karipap, kroket, popia dan macam-macam lagi kuih-muih yang bergoreng. Membuatnya juga tidaklah sesukar mana. Hanya perlu mengikut sukatan dan langkah-langkahnya dengan tepat dan betul. Untuk hasil yang lebih kreatif lagi, cubalah resipi pilihan SEDAP kali ini.

Alangkah sedapnya menikmati masak lemak labu bersama sambal ikan bilis, ikan kering goreng berserta ulam-ulaman. Memang nikmat sekali! Selain itu, labu yang dikatakan berkhasiat ini juga, boleh dijadikan sebagai campuran dalam roti, mi dan biskut. Lain pula di Jepun, labu dimasak sebagai tempura. Walau apa cara sekali pun labu dihidangkan, ianya tetap menyelerakan.

Buat penggemar hidangan Perancis, SEDAP kali ini memaparkan resipi pilihan Perancis yang dihidangkan sangat menarik juga sedap rasanya. Apa kata kita mencubanya sendiri.

Antara lain paparan menarik, pastikan tidak ketinggalan untuk mencuba Resipi Si Kecil, Sarapan Apa?, Resipi Sihat, Resipi Kesihatan dan banyak lagi. Semuanya sangat istimewa dan sudah tentulah akan digemari oleh keluarga dan rakan-rakan anda.

Disember 28, 2010

Istimewa Sempena Tahun Baru Cina-SEDAP#32


Apabila tibanya Tahun Baru Cina, sudah tentulah kita akan terbayangkan buah limau. Sememangnya buah limau ada maksud yang tersirat sempena Tahun Baru Cina. Begitu juga dengan pelbagai jenis hidangan istimewa yang menarik dan indah pada setiap malam perayaan. Buah tangan yang disediakan juga membawa maksud yang melambangkan kesejahteraan dan kebahagiaan. Jika anda berminat untuk mengetahui jenis hidangan apakah yang dimaksudkan, SEDAP kali ini memaparkan beberapa jenis resipi pilihan yang pastinya akan memukau dan membangkitkan selera.

Hidangan kaserol juga tidak kalah istimewanya dihidangkan kepada para tetamu yang hadir atau mungkin juga sebagai makan malam bersama keluarga. Kaserol sememangnya dihidangkan lengkap dengan gizi yang diperlukan. Lebih mudah dan cepat penyediaannya. Tidak seperti menghidang nasi serta lauk-pauk sampingan. Semua cita rasa sudah lengkap dengan sayur-sayuran, daging di samping dengan aneka warna menarik daripada cili merah, hijau dan macam-macam lagi bergantung cita rasa.

Di hari kasih sayang, selain bunga-bungaan, sudah tentulah coklat pilihan utama sebagai hadiah buat yang tersayang. Dengan coklat, kita boleh sediakan pelbagai bentuk dan variasinya seperti biskut, kek, gula-gula dan macam-macam lagi. Setelah itu, digubah cantik menjadi jambangan bunga. Semuanya bergantung pada si pemberi yang mahu memberikan apa cara sekalipun. Apa yang penting, keikhlasan hati dalam berkasih sayang. Tidak kira, sama ada buat kekasih, suami-isteri, kakak, adik dan juga kepada ibubapa.

Ada banyak lagi resipi istimewa yang bakal membuatkan anda teruja untuk mencubanya. Apa yang penting, sediakannya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang buat keluarga tercinta.