Januari 04, 2010

Selera Asia Sesuai Cita Rasa - SEDAP#21



Sememangnya negara kita Malaysia kaya dengan pelbagai macam hidangan yang boleh dikatakan selera Asia. Ini kerana negara kita dihuni oleh berbilang kaum, bangsa dan agama. Hidangan Cina dan India sememangnya sudah tidak menjadi asing lagi. Walaupun berbeza cara dan resipi, kita sebagai rakyat Malaysia masih boleh menerimanya mengikut selera. Lebih-lebih lagi resipi istimewa dari Indonesia. Lontong, pecal, tempe dan sebagainya, memang kena dengan selera asia yang sememangnya menyukai hidangan pedas, lemak dan masin. Semuanya tepuk dada dan tanyalah selera.

Bagi yang menggemari hidangan ala café, menu hidangan berupa manisan sudah semestinya menjadi hidangan ringan paling popular. Begitu juga pelbagai cita rasa minuman yang membuatkan café tersebut semakin mendapat perhatian. Namun begitu, tidak boleh selalu juga ke café hanya semata-mata mahu menikmati hidangan istimewa di sana. Selain kurang mengenyangkan, harganya juga tidak murah. Jadi, untuk menikmati menu ala café di rumah dan lebih menjimatkan, SEDAP memaparkan beberapa resipi pilihan ala café untuk dicuba sendiri. Dengan demikian, anda bolehlah menikmatinya dengan sepuas-puasnya.

Ada banyak lagi hidangan istimewa dan lazat untuk dicuba sendiri. Dari aneka jenis resipi nasi, lauk-pauk, kuih-muih, manisan dan macam-macam lagi turut dimuatkan untuk keluaran SEDAP kali ini. Sudah pasti SEDAP akan memberikan sejuta kebahagiaan buat keluarga tersayang.

Disember 10, 2009

Roti Goreng dan Sup Hangat Istimewa-SEDAP#20


Roti, bukan sahaja dinikmati sarapan pagi, malah sesuai juga dihidangkan minum petang. Selain disapu mentega atau jem, roti juga boleh dilapisi atau diinti dengan aneka jenis lauk-pauk atau kepingan ayam dan juga daging. Mengikut cita rasa masing-masing.

Kebiasaannya, kita menikmati roti yang dibakar dan kemudian dipotong keping-kepingan atau dibentuk dengan saiz yang sesuai mengikut individu. Sudah tentulah akan berasa bosan dan mahu menikmati gaya lain pula. Jika timbulnya masalah itu, amat sesuailah SEDAP kali ini memaparkan aneka jenis roti yang cara memasaknya adalah dengan menggoreng. Lebih variatif lagi dengan pelbagai inti serta gaya yang menarik. Selain bentuknya yang menarik, boleh juga disalut dengan serbuk roti hingga roti goreng kelihatan seakan nuget istimewa.
Buat yang menggemari aneka cita rasa sup istimewa, SEDAP kali ini tampil dengan aneka resipi sup yang sangat menyegarkan. Dengan kehadiran rasa udang, sotong ataupun ayam, akan menambahkan menghadirkan lagi rasa nikmat dan aroma yang menggiurkan. Sedap juga dinikmati begitu sahaja. Sememangnya resipi sup kali ini benar-benar membuatkan sesiapa sahaja akan berasa kenyang.

Sup selalunya dikaitkan dengan stamina. Mengapa begitu? Ini kerana penggunaan bahan segar yang berkhasiat dan sesuai untuk mengembalikan kecergasan setelah berpenat lelah di siang hari. Selain itu, sup juga sesuai dihidangkan kepada para pesakit yang kurang selera makan. Adalah lebih baik jika dinikmati ketika masih panas lagi.

Selain memaparkan resipi roti goreng dan sup, resipi tradisional dan moden juga turut dimuatkan pelbagai variasi lauk-pauk, kuih-muih, manisan dan kek yang istimewa. Pelbagai info berguna juga turut memenuhi ruangan majalah SEDAP terbitan kali ini. Oleh itu, jadikanlah Majalah SEDAP sebagai teman memasak anda ketika di dapur. Selain membekalkan asas pengetahuan, sesuai dijadikan panduan yang berguna buat pembaca tersayang semua.

November 07, 2009

Variasi Ikan Bakar yang Menggiurkan-SEDAP#19


Siapa yang tidak gemar menikmati ikan bakar ketika masih panas-panas lagi. Sedap juga dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja bersama cicahan istimewanya. Ikan bakar yang sedap sebenarnya bukan sahaja bergantung pada jenis ikan, tetapi juga penggunaan rempah-ratus sebagai bahan perapan sebagai perisa. Selain itu, cara membakarnya juga ada caranya. Ketika membakarnya, disapukan air perapan ke atas ikan untuk membangkitkan lagi aroma dan cita rasanya.

Ada banyak tempat atau restoran yang menawarkan hidangan ikan bakar. Pelanggan hanya perlu memilih jenis ikan dan saiz yang dikehendaki, kemudian bolehlah meminta tukang masak membakarnya mengikut kaedah caranya memasak. Lebih istimewa lagi, jika ikan yang dibakar masih segar lagi. Ada juga beberapa tempat memancing yang menawarkan khidmat menyiang dan dimasak mengikut jenis masakan yang dikehendaki. Selalunya pelanggan lebih suka ikan hasil tangkapan mereka dibakar.

Jika selalu menikmati ikan bakar di restoran, sudah tentulah akan mempengaruhi wang saku yang ada. Bukankah lebih jimat jika memasaknya sendiri. Malah, boleh dinikmati dengan sepuas-puasnya. Lebih-lebih lagi ikan tersebut adalah dari hasil ternakan kolam sendiri. Benar-benar menjimatkan!! Untuk itu, SEDAP keluaran kali ini memaparkan variasi ikan bakar yang sangat istimewa. Sekali rasa, pasti mahu lagi.

Selain memaparkan resipi ikan bakar, ada banyak lagi resipi-resipi istimewa yang terdiri lauk-pauk, kuih-muih, manisan dan aneka jenis roti. Antara resipi yang pasti membuatkan sesiapa sahaja tertarik untuk mencubanya, mempelajari cara membuat gnocchi yang seakan pasta, piza gandum yang mudah disediakan, gado-gado dan macam-macam lagi. Yang pasti, rasanya akan membuatkan anda mahu menikmatinya sekali lagi dan mungkin akan memasaknya lagi.

November 05, 2009

Resipi Sedap, Hasil Variasi Sempurna

Mevariasikan bahan utama dalam pelbagai resipi, akan menambahkan lagi berjenis-jenis resipi yang lazat untuk dinikmati. Selain memastikan kelazatannya benar-benar sempurna, sukatannya juga perlu tepat.


Coklat sememangnya amat digemari ramai. Selain dinikmati dalam bentuk minuman atau makanan ringan seakan gula-gula, coklat juga dimanfaatkan dalam pelbagai resipi. Antaranya kek, kuih muih dan aneka jenis pemanis. Coklat sememangnya terlalu istimewa. Ianya sering dijadikan sebagai cenderahati buat pengikat kasih dan sayang. Contohnya, seorang bapa membelikan beberapa bar coklat untuk anak-anak kesayangan. Bagi pasangan bercinta, coklat selain digunakan untuk memikat, juga digunakan untuk memujuk. Untuk lebih mengeratkan lagi hubungan, apa kata anda cuba sendiri membuat pelbagai hidangan dengan menggunakan coklat mengikut resipi SEDAP kali ini. Sudah tentu ianya tidak akan mengecewakan anda, malah menggembirakan.


Selain paparan resipi coklat, SEDAP juga memaparkan pelbagai jenis hidangan yang lazat lagi menyelerakan. Antaranya, bagi yang selama ini menggemari daging ayam, cubalah pula merasai kenikmatan daging itik yang diolah sehingga menjadi hidangan yang benar-benar mengejutkan. Apa lagi, jika dihidangkan bersama nasi panas, sudah tentulah membangkit selera anda untuk terus menikmatinya.


Paparan resipi lauk-pauk lain tidak kalah juga. Sekali menatapnya, sudah pasti buat anda terliur. Resipi paduan tradisional yang ringkas dan sederhana, biarpun tidak asing buat anda, tetapi tidak salah jika ada sedikit pembaharuan yang membuatkan hidangan semakin sedap rasanya.


Bagi penggemar cendawan dan keju, inilah masanya untuk anda mencuba resipi istimewa, Piza Keju Cendawan. Biarpun tidak banyak bahan topping yang digunakan, cukuplah dengan menggunakan keju dan cendawan. Rasanya memang tidak membosankan anda. Malah, akan membuatkan anda semakin ketagih untuk membuatnya sendiri.


Jagung semestinya tidak asing lagi. Akan tetapi, tahukah anda ada beberapa jenis lagi jagung yang jarang-jarang dan biasa ditemui?


Ruangan Resipi Nusantara pula mengetengahkan pelbagai resipi istimewa dari Vietnam. Bagi yang ingin mencuba resipi dari Vietnam, tidak perlu lagi menikmatinya di restoran yang menghidangkan hidangan Vietnam. Anda boleh memasaknya sendiri dengan mengikuti resipi Vietnam yang terdapat dalam Majalah SEDAP kali ini.


Ada banyak lagi resipi lazat yang terdapat dalam keluaran kali ini. Sememangnya akan tambah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dengan masakan anda dari Majalah SEDAP. Jadi, pastikan majalah kesayangan ramai ini ada di rumah anda sebagai koleksi peribadi.

Oktober 10, 2009

Sentiasa Tampil Lebih Segar dan Menggiurkan

Aduhai... siapa yang tidak akan terliur apabila melihat dimeja hidang penuh dengan aneka jenis hidangan pembuka istimewa. Selain tampil segar, hidangan pembuka juga kelihatan amat menarik dengan seni kuliner ringkas yang menggiurkan. Selain itu, aromanya juga mampu menjadi tarikan utama untuk siapa sahaja mahu segera menikmatinya.

Sebagai resipi istimewa untuk sesuatu majlis, hidangan pembuka ini kebiasaannya dihidangkan dalam bentuk kecil-kecil. Tujuannya supaya tidak segera berasa kenyang sebelum dihidangkan menu utama untuk para tetamu.

Antara resipi menarik yang turut juga dimuatkan seperti kuih bingka Ambon yang mudah dan sedap rasanya. Ada pelbagai jenis pilihan resipi bingka yang boleh dicuba untuk dinikmati seisi keluarga anda ketika sarapan pagi atau pun minum petang. Malah, sesuai juga dihidangkan untuk majlis-majlis keramaian seperti, kenduri kesyukuran dan sambutan hari lahir. Melalui keluaran SEDAP kali ini, anda boleh mencubanya dengan mengikut langkah demi langkah cara pembuatannya dengan betul. Sudah pastilah hasilnya tidak akan mengecewakan anda.

Buat pembaca yang benar-benar menggemari masakan Jepun, SEDAP kali ini memaparkan hidangan terkenal yang dipanggil dengan nama 'Udon'. Udon sebenarnya adalah sejenis hidangan mi yang amat popular di Jepun. Kebiasaannya, mi Udon ini berbentuk tebal dan warnanya kuning muda. Dihidangkan bersama sup istimewanya. SEDAP turut juga memaparkan resipi udon istimewa ini untuk anda mencubanya.

Bagi yang kini sibuk dengan perniagaan katering, SEDAP ada memaparkan pilihan resipi yang sesuai untuk dihidangkan kepada para tetamu. Sudah tentulah ianya bakal menjadi pilihan pelanggan anda kerana cita rasanya bersesuaian dengan lidah kita.

Buat pilihan keluarga, resipi bulanan memaparkan pelbagai hidangan yang benar-benar menggiurkan disamping paparan resipi kudapan istimewa dihujung minggu. Apa yang penting, semuanya sedap-sedap belaka. Jika anda mahu mengubah selera, ada banyak lagi resipi lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan pelbagai kudapan lainnya. Apa yang pasti, resipi telah diuji cuba terlebih dahulu dan diyakini 99% berhasil dan sedap rasanya. Tetapi, bagaimana pula dengan anda? Tepuk dada, tanyalah selera.

September 07, 2009

Paparan Kek Jepun Pelbagai Variasi dalam SEDAP #16

Siapa yang tidak menggemari kek yang sedap dan lembut rasanya. Lebih-lebih lagi, kek yang dibuat menggunakan teknik unik yang biasa digunakan oleh tukang pembuat kek Jepun. Bukan setakat rasanya, kek juga kelihatan cantik dan kreatif. Sememangnya sentuhan yang benar-benar mengagumkan!

Bagi penggemar tiramisu pula, SEDAP kali ini mengetengahkan beberapa resipi yang mempunyai cita rasa tiramisu. Selain sedap rasanya, paduan aroma keju juga menjadikan nikmat tiramisu amat sukar dilupakan. Sentuhan demi sentuhan resipi pilihan SEDAP mendapat tempat di lidah kita. Terutamanya, resipi yang didatangi dari Brazil, benar-benar mengejutkan.

Selain memaparkan resipi kek, kuih-muih dan manisan, turut juga dipaparkan pelbagai resipi lauk-pauk yang sesuai dihidangkan untuk santapan keluarga. Tidak lupa juga bagi penggemar durian yang mendapat jolokan sebagai raja buah turut digunakan dalam pelbagai resipi. Aroma khasnya yang istimewa, membuatkan hidangan bertambah sedap.

Pernahkah anda menyedari akan khasiat bunga tapak dara yang cantik, mampu mencegah penyakit kanser, leukimia dan diabetes? Menyentuh tentang kesihatan, adakah anda mengetahui apakah serat makanan dan apakah kebaikannya? Sebenarnya, mengambil makanan berserat sangat baik untuk tubuh badan. Antara pencegahan yang mampu dikawal dengan mengamalkan pemakanan berserat iaitu mampu menurunkan kadar kolestrol dalam darah, mengawal kandungan gula dalam darah bagi pengidap diabetes, memudahkan pencernaan dan mengikat air hingga kotoran manusia menjadi lembut. Ada banyak cara untuk mengambil makanan serat. Untuk lebih mengetahui lebih lanjut lagi, jangan ketinggalan untuk mendapatkan senaskhah Majalah SEDAP di pasaran. Selain memaparkan pelbagai resipi, turut dimuatkan pelbagai info berguna untuk dikongsikan bersama para pembaca yang lain. Sememangnya, SEDAP mempunyai cita rasa SEDAP buat pembaca semua.

Seperkara lagi, dalam usaha memantapkan intipati majalah SEDAP #16 kali ini, secara tidak sengaja, pihak kami telah tersalah cetak halaman 53 dengan kandungan halaman 49. Apapun, kami sertakan halaman 53 yang sebenarnya di sini untuk tatapan para pembaca budiman. Harap maaf.

Sempena kedatangan bulan Syawal, dengan seikhlas hati, krew SEDAP mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Ogos 08, 2009

Variasi Resipi Gandingan Ketupat & Tanpa Ketupat

Meskipun bulan Ramadhan belum menjelang tiba dan bulan Syawal masih lagi jauh jika diukur dengan hitungan hari, namun demikian, ia tidak menjadi satu kesalahan andainya kita bersiap sedia lebih awal. Justeru itu, majalah SEDAP kali ini memaparkan hidangan istimewa sempena Aidilfitri.

Visual yang menghiasi muka depan, diambil daripada ruangan Masakan Teman Ketupat yang diberi nama Sayur Godog Rempah Kantan. Jika ia dihidangkan kepada tetamu tatkala Hari Raya, pasti menjadi kenangan manis.... Apa taknya, santapan yang disaji ketara kelainannya jka dibandingkan dengan hidangan pada tahun-tahun sebelum ini! Selain itu, majalah SEDAP kali ini juga turut menyiarkan pelbagai hidangan kuih lazat di samping puding dan minuman segar untuk mengembalikan kesegaran tubuh setelah menikmati aneka juadah raya yang pedas-pedas.

Walaupun edisi kali ini lebih menjurus kepada tema Aidilfitri, majalah SEDAP juga tidak ketinggalan memaparkan pelbagai resipi lauk-pauk untuk santapan seisi keluarga dalam ruangan paling popular, "Menu Hidangan Bulanan". Antara yang pasti mengiurkan ialah masakan cendawan goreng rempah kari, sate ayam rempah petis pedas, paru masak kacang merah, sayur asam kangkung, pucuk ubi tumis rica, sambal godog tauhu lembut, ikan siakap sos Bali, sup sayur daun ketumbar, rusuk kambing cili hijau dan banyak lagi...!

Apa pun, yang pasti kami di majalah SEDAP ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di mana jua anda berada pada bulan Ramandhan yang bakal menjelang ini. Sebagai umat Islam, umum mengetahui bahawa di samping satu proses penyucian dosa dan pembersihan jiwa serta untuk peningkatan ketakwaan kepada Tuhan, amalan puasa juga merupakan satu bentuk rawatan kepada sistem tubuh badan khususnya dikenali sebagai proses detoksifikasi atau penyahtoksidan, iaitu satu proses di mana pelbagai jenis bahan beracun atau bahan bertoksik dikeluarkan daripada tubuh badan manusia bagi tujuan pembersihan.

Pendek kata, marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan ini untuk memperbanyakkan amal ibadah dan bermunajat kepada Allah SWT. Semoga kita lebih sihat, lebih bermotivasi dan lebih produktif sepanjang bulan Puasa ini. InsyaAllah, semoga ibadah kita diterima oleh Allah SWT, Amin.