September 04, 2008

Segar, Walaupun Berpuasa

Berpuasa adalah satu ibadah yang wajib dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan oleh seluruh umat Islam khususnya. Selain menahan lapar dan dahaga, juga melatih diri supaya mengawal segala pacaindera dan juga nafsu diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Seharusnya dekatkan diri dengan melakukan amalan yang mulia seperti berbanyak bersabar, bersyukur, ikhlas, jujur dan insaf.


Ketika menjalani ibadah puasa, pernahkah anda sedar akan manfaatnya berpuasa? Sebenarnya, berpuasa banyak manfaatnya. Untuk itu, ikutilah tip di bawah iaitu kaedah betul berpuasa supaya tubuh akan sentiasa kelihatan segar terutamanya buat mereka yang masih bekerja sepanjang berpuasa. Untuk terus kelihatan sihat seperti biasa, perlulah mengikuti pengaturan makan dan minum ketika bersahur atau ketika berbuka.


Sepanjang berpuasa, makanan yang menghasilkan tenaga utama seperti karbohidrat, lemak, vitamin, meneral dan protein yang masuk ke dalam tubuh adalah tidak sebanyak seperti setiap hari tidak berpuasa. Jadi, untuk kawalan yang lebih sempurna cubalah ikuti beberapa tip khusus ketika kita bersahur dan berbuka puasa. Tip ini supaya tubuh akan tetap sihat dan segar sepanjang bulan puasa sehingga terhindar dari kebiasaan hingga menjejaskan kesihatan:


Pada ketika Sahur:


Ambillah makanan yang mengandungi khasiat yang baik ketika bersahur mahupun ketika berbuka puasa. Walaupun menu yang terhidang agak sederhana, tetapi sangat penting mempunyai lima unsur khasiat lengkap seperti lemak, protein, vitamin, karbohidrat dan mineral.


Supaya boleh menahan rasa lapar, diminta perbanyakkan mengambil jenis makanan berserat yang terdapat dalam sayuran dan buah-buahan. Tubuh sememangnya amat memerlukan masa yang lebih lama untuk mencerna makanan yang mengandungi banyak serat.


Supaya mampu mencegah terhidratnya tubuh dengan meminum air masak atau air suling sebanyaknya pada malam hari. Perkara ini sememang sangat penting dilakukan, kerana pada hari siang segala kegiatan dan aktiviti akan lebih banyak mengeluarkan peluh sama ada di luar atau di dalam bilik berhawa dingin.


Selain memperbanyakkan memakan makanan yang berserat dan makanan yang banyak mengandungi protein, sebaiknya juga menyediakan pelbagai makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan supaya tubuh akan tetap segar sepanjang hari ketika berpuasa.


Beberapa vitamin yang penting diambil setiap hari ketika berpuasa adalah vitamin A, B dan C. Akan tetapi, jika anda sudah memakan buah-buahan yang berwarna kuning atau merah, sayuran yang berwarna hijau tua dan kekacang, bermakna anda tidak perlu bimbang lagi akan kekurangan vitamin-vitamin tersebut.


Kepada mereka yang sering diserang sakit perut, makanan yang sebaiknya dihindari adalah pulut, mi, daging berlemak, ikan dan daging yang telah diawetkan, sayuran mentah, sayuran berserat, minuman yang mengandungi soda, juga bahan yang agak tajam (cuka, cili dan asam jawa). Jenis makanan tersebut boleh menimbulkan gas yang akan menyebabkan meningkatnya kandungan asid dalam perut.


Setelah selesai bersahur, jangan pula terus tidur. Tubuh memerlukan masa untuk mencerna makanan yang baru sahaja dimakan.

Ketika Berbuka:


Pada ketika berbuka, hendaklah dimulakan berbuka dengan makanan atau minuman yang panas dan manis seperti kurma, kuih-kuih manis ataupun minum minuman manis lainnya. Ini penting untuk normalkan kadar kandungan gula dalam tubuh kita. Tapi perlu diingat, jangan mengambil minuman yang bersoda, kerana boleh menimbulkan masalah kurang baik kepada perut anda.


Jangan terus meminum ais atau minuman sejuk. Sebaiknya biasakanlah berbuka dengan minuman yang hangat. Perut yang kosong boleh menjadi kembung, apabila kita terus berbuka puasa dengan air sejuk. Ini akan mengakibatkan kandungan asid dalam perut akan bertambah banyak.


Kemudian, cubalah berehat lebih kurang 1 jam sebelum mengambil makanan berbuka yang telah dihidangkan. Tujuannya adalah untuk memberikan keseimbangan terlebih dahulu proses pencernaan anda. Ingat, jangan mengambil makanan yang berlebihan dan makanan masin.


Berbuka puasa hendaklah dilakukan secara berperingkat dan tidak terlalu terburu-buru supaya perut memerlukan ruang kosong untuk mencerna makanan. Untuk meringankan kerja-kerja pencernaan, kunyah makanan dengan baik.


Bagi mereka yang berat badan melebihi berat badan yang normal, seelok-eloknya sepanjang berpuasa juga tetap menghindari makanan yang tinggi kolestrolnya. Contohnya lemak haiwan, marjerin dan mentega. Selain itu, seelok-eloknya hindari makanan yang manis-manis seperti dodol, sirap, coklat, kuih dan aiskrim. "Selain lebih banyak mengambil sayuran, buah-buahan dan daging tanpa lemak, pengolahan makanan juga lebih baik jangan digoreng."


Kepada mereka yang terlalu kurus, sepanjang berpuasa adalah sebaiknya menambahkan pengambilan susu dan menghidari makanan yang sukar untuk dicerna seperti sayuran berserat kasar (pucuk ubi, pucuk betik).


Kepada yang telah berusia, aturlah pola makanan ketika berbuka puasa juga secara berperingkat. Makanlah dalam jumlah yang lebih sedikit, tetapi dilakukan beberapa kali. Setelah berbuka puasa, jangan terus tidur. Tubuh kita memerlukan masa untuk mencerna makanan yang baru sahaja dimakan.

Julai 31, 2008

SEDAP #3 Tampilkan Lebih 100 Resipi

SOALAN 1: Bilakah isu ketiga majalah SEDAP akan berada dalam pasaran?

JAWAPAN 1:
Dapatkan dalam pasaran mulai 10 Ogos 2008.


SOALAN 2:
Saya sukar memperolehi majalah SEDAP di tempat tinggal saya. Apa perlu saya buat?

JAWAPAN 2:
Jika tempat anda tiada atau sukar memperolehi majalah SEDAP, sila buat aduan kepada penerbit di talian telefon (03) 9285 7375 atau e-mel MajalahSedap@gmail.com. Nyatakan lokasi atau nama kedai yang tidak menjual majalah SEDAP. Pihak kami akan menjalankan tinjauan dan mengambil tindakan agar ia mudah diperolehi di pasaran pada masa akan datang.

Alternatifnya, anda juga boleh terus melanggan daripada kami. Borang langganan boleh didapati daripada unit langganan kami atas pemintaan.


SOALAN 3:
Apakah yang istimewa dalam keluaran kali ini?

JAWAPAN 3:
Banyakkkk... antara lainnya ialah
a) lebih 100 resipi (termasuk 44 resipi yang sesuai untuk bulan Ramadan)
b) harga tetap RM5.50 walau semua barangan keperluan naik melambung
c) 10 voucher RM50 seorang untuk mencuba pankek di Pancake House International di Sunway Pyramid atau Pavilion KL

Julai 09, 2008

SEDAP Menawan Rasa Menambat Selera

SEDAP - terbitan sulung yang kedua kini hangat dalam pasaran. Sebab apa ya? Jawapannya mudah sahaja. SEDAP memiliki keunikan yang tersediri!

Antara yang istimewa dalam majalah SEDAP kali ini ialah:

1) Lebih 70 resipi lengkap dengan foto yang menawan (gambar yang SEDAP mata memandang dan juga hidangan yang SEDAP dimakan).

2) Lebih 80 pesanan, tip, info & petua masakan sebagai panduan (sesuai kepada para chef profesional mahu pun amatur - kepada makcik2, kakak2, adik2 dan pengantin baru; tiada alasan lagi untuk mengelak daripada masak sendiri).

3) Hampir 50 senarai KAMUS KITA bagi panduan dan rujukan tukang masak amatur (siap disertai gambar barangan dan info ringkas sebagai contoh. Apa itu 'Kicap Inggeris', 'Kicap Ikan' 'Kuey Tiaw Kering', 'Kuey Tiaw Basah' dan banyakkkkk lagi... terjawab melalui SEDAP kali ini).

4) Ruangan JALAN2 memaparkan hampir 10 jenis masakan istimewa di Pulau Bali (sesuai kepada mereka yang suka jalan-jalan ke negara jiran. Jadi tak payah nak risau mana nak makan rojak soto atau bakso. Di mana boleh dapat kuih bagiak yang sedap, atau pun jenang, selo, pisang salai, ayam Blambangan yang popular... sebab semua terjawab dalam SEDAP keluaran ini).

5) Harga di Semenanjung Malaysia masih kekal RM5.50 walaupun minyak petrol dah naik harga (penerbit kurang untung sikit takpe, asalkan pembaca puas hati membaca dan puas selera bila merasa hidangan yang telah dicuba).

Dapatkan senaskhah majalah SEDAP yang sesungguhnya paduan cita rasa dan seni kuliner yang sejati & sebenar (beza dengan tagline Radio 24 yang Sebenar, Semasa).


Nukilan,
Harlym Yeo

Julai 08, 2008

Majalah SEDAP Terbitan Kedua

Berita gembira buat semua, Majalah SEDAP keluaran kedua telah berada di pasaran.

Pelbagai paparan menarik dalam keluaran kali ini. Antaranya variasi roti yang menggunakan pelbagai ubi, sushi, resipi ala nyonya, olahan ikan terubuk, aneka kuih lapis, aneka pasta, kek dan macam-macam resipi istimewa terkandung dalam keluaran kali ini. Jadi, tunggu apa lagi? Dapatkannya sekarang dari mana-mana kedai buku dan majalah yang berhampiran. Pasti akan membuatkan anda berpuas hati dengan apa yang terhidang dan semestinya SEDAP!

Jun 14, 2008

Resipi SEDAP - Sedap Mata Memandang, Sedap Lagi Bila Dirasa

“Lepas waktu pejabat, kena masak untuk seisi keluarga lagi!” Ini merupakan rungutan yang biasa di kalangan wanita berkerjaya yang kurang berkemampuan menggaji pembantu rumah. Manakala bagi suri rumah sepenuh masa pula, kebiasaannya merungut tidak ada idea untuk menyediakan hidangan setiap kali tiba waktu memasak. Alangkah mudahnya kerja memasak jika ada yang sudi menunjukkan kaedah dan memberi cadangan agar kita dapat menyediakan sajian yang sedap, ekonomi dan menjimatkan masa untuk seisi keluarga.

Asal Usul Majalah SEDAP

Dengan terbitnya majalah SEDAP dalam pasaran, rungutan seumpama di atas dapat diatasi. Majalah bulanan bahasa Malaysia yang diadaptasi daripada majalah terbitan Indonesia ini telah berada di pasaran sejak bulan Jun baru-baru ini. Ia merupakan terbitan sulung syarikat penerbitan tempatan, Arena Media Tech Sdn Bhd dengan usahasama syarikat penerbitan gergasi Indonesia, Gramedia Magazine Publications yang terkenal dengan akhbar Kompas beroperasi di Jakarta, Indonesia.

Kandungan Majalah SEDAP

Kandungan majalah menitik berat seni kuliner dan resipi yang telah diuji di dapur penerbit. Apa yang istimewanya majalah SEDAP selain menyediakan lebih 80 jenis resipi ini, ia juga padat dengan paduan pelbagai jenis masakan daripada kek, roti, biskut, lauk pauk, kuih-muih dan sebagainya.

Malah bagi suri-suri rumah tangga yang sering mengalami masalah untuk menyediakan hidangan harian untuk keluarga, ruangan ‘Menu Hidangan Bulanan’ yang memaparkan 16 cadangan menu pilihan sesungguhnya amat berguna. Resipi-resipi ini, selain telah diuji di dapur majalah Sedap terlebih dahulu bagi mendapatkan hasil dan rasa yang lebih tepat mengikut sukatan, ia juga diselitkan dengan foto warna-warni yang mempesonakan dan di samping tip dan pesan daripada chef untuk panduan pembaca.

Istimewanya majalah SEDAP jika dibandingkan dengan majalah masakan sedia ada dalam pasaran, selain daripada tip ringkas dari chef bagi setiap resipi yang dipaparkan, majalah SEDAP juga menyediakan ruangan ala-kamus bagi membantu mereka yang baru berjinak-jinak dengan seni memasak.

Selaku pengarang yang terbabit dalam penerbitan majalah SEDAP, Rosliza hassan juga telah mencuba beberapa resipi yang dimuatkan dalam majalah masakan ini sebelum proses penerbitannya. Beliau sendiri mengakui hidangan tersebut memang mudah disediakan selain ia sedap dan menepati cita rasa seisi keluarga

Dalam keadaan harga barangan yang semakin naik sekarang, ruangan ‘Resipi Ekonomi’ amat sesuai kerana ia memaparkan resipi yang menggunakan bahan-bahan yang murah dan menepati bajet pengguna.

“Biarpun murah, rasa hidangan tersebut masih tetap sedap,” jelas Rosliza.

Harga Pengenalan

Bagi yang berminat untuk mendapatkan majalah Sedap ini, kini ia ditawarkan dengan harga pengenalan iaitu RM5.50 senaskhah. Majalah ini boleh didapati dari mana-mana kedai buku atau majalah. Untuk sebarang pertanyaan pengedaran, bolehlah hubungi Cik Lim di bahagian pengedaran dan langganan Arena Media Tech di talian, (+603) 9222 8128. Malah bagi mereka yang ingin berinteraksi secara maya, boleh lawati forum blog majalah SEDAP atau e-mel ke majalahsedap@gmail.com.


Peluang Periklanan
Bagi syarikat yang ingin mengambil peluang memaparkan iklan atau mempromosikan produk mereka, boleh menghubungi wakil pengiklanan di Evergreen Publisher (+603) 9285 7375.

Jun 09, 2008

Perbezaan Daun Suji dan Daun Pandan

Ramai yang masih tidak mengenali apakah daun suji sebenarnya. Daun suji rupanya seakan daun pandan, tetapi yang membuatkannya berbeza adalah cabang dedaun yang tumbuh dari batangnya. Daun suji agak pendek dan lebar sedikit. Manakala daun pandan agak panjang daunnya. Daun suji lebih lebih hijau warnanya berbanding dengan daun pandan. Kebiasaannya daun suji ini dipanggil dengan nama 'pandan serani' dan dijadikan tanaman hiasan.
Inilah rupa daun suji atau sesetengah orang memanggilnya dengan nama pandan serani yang gunanya untuk mendapatkan warna hijaunya.

Inilah rupa daun pandan. Keharumannya menjadikan tarikan utama dalam pembuatan kuih-muih.

Jun 03, 2008

Forum Majalah Sedap Baru dibuka

Berita baik untuk semua para pengunjung laman blog dan juga para pembaca Majalah SEDAP, demi menghargai sokongan anda, team SEDAP telah mewujudkan satu ruang interaktif iaitu Forum Majalah SEDAP, bagi memeriahkan laman blog ini. Di sini kami telah lakukan sebaik mungkin bagi memenuhi kehendak pembaca mengikut kesesuaian dan ketepatan citarasa pembaca.

Sebaik Majalah SEDAP terbitan pertama berada di pasaran, pasti ada yang akan mencubanya. Untuk berkongsi segala pengalaman anda ketika menyediakan mana-mana resepi yang terdapat di dalam majalah tersebut, kongsikan segala pengalaman anda bersama foto-foto masakan dalam forum khas yang telah kami wujudkan. Harapan kami, dengan kewujudan forum ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat yang berguna kepada para pengunjung sekelian.