Oktober 10, 2009

Sentiasa Tampil Lebih Segar dan Menggiurkan

Aduhai... siapa yang tidak akan terliur apabila melihat dimeja hidang penuh dengan aneka jenis hidangan pembuka istimewa. Selain tampil segar, hidangan pembuka juga kelihatan amat menarik dengan seni kuliner ringkas yang menggiurkan. Selain itu, aromanya juga mampu menjadi tarikan utama untuk siapa sahaja mahu segera menikmatinya.

Sebagai resipi istimewa untuk sesuatu majlis, hidangan pembuka ini kebiasaannya dihidangkan dalam bentuk kecil-kecil. Tujuannya supaya tidak segera berasa kenyang sebelum dihidangkan menu utama untuk para tetamu.

Antara resipi menarik yang turut juga dimuatkan seperti kuih bingka Ambon yang mudah dan sedap rasanya. Ada pelbagai jenis pilihan resipi bingka yang boleh dicuba untuk dinikmati seisi keluarga anda ketika sarapan pagi atau pun minum petang. Malah, sesuai juga dihidangkan untuk majlis-majlis keramaian seperti, kenduri kesyukuran dan sambutan hari lahir. Melalui keluaran SEDAP kali ini, anda boleh mencubanya dengan mengikut langkah demi langkah cara pembuatannya dengan betul. Sudah pastilah hasilnya tidak akan mengecewakan anda.

Buat pembaca yang benar-benar menggemari masakan Jepun, SEDAP kali ini memaparkan hidangan terkenal yang dipanggil dengan nama 'Udon'. Udon sebenarnya adalah sejenis hidangan mi yang amat popular di Jepun. Kebiasaannya, mi Udon ini berbentuk tebal dan warnanya kuning muda. Dihidangkan bersama sup istimewanya. SEDAP turut juga memaparkan resipi udon istimewa ini untuk anda mencubanya.

Bagi yang kini sibuk dengan perniagaan katering, SEDAP ada memaparkan pilihan resipi yang sesuai untuk dihidangkan kepada para tetamu. Sudah tentulah ianya bakal menjadi pilihan pelanggan anda kerana cita rasanya bersesuaian dengan lidah kita.

Buat pilihan keluarga, resipi bulanan memaparkan pelbagai hidangan yang benar-benar menggiurkan disamping paparan resipi kudapan istimewa dihujung minggu. Apa yang penting, semuanya sedap-sedap belaka. Jika anda mahu mengubah selera, ada banyak lagi resipi lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan pelbagai kudapan lainnya. Apa yang pasti, resipi telah diuji cuba terlebih dahulu dan diyakini 99% berhasil dan sedap rasanya. Tetapi, bagaimana pula dengan anda? Tepuk dada, tanyalah selera.